Saturday, December 12, 2009

Menabunglah sebelum kamu ditabungkan...


Kalau anda semua tengok gambar ini, apa yang terlintas dalam fikiran anda? Apa yang terkandung dalam bekas ini? Ha... tentulah duit ringgit di dalam bekas ini sudah banyak. Sebab apa banyak? Mestilah sebab kita menabung, bukan?

Amalan menabung sememangnya bagus untuk masa hadapan kita. Bukan tidak boleh berbelanja tetapi jangan lupa simpanlah sedikit untuk keperluan saat-saat kecemasan. Saya sendiri mengamalkan budaya ini sejak kecil. Emak dan abah menggalakkan kami menabung. Setiap hari walaupun duit belanja cuma dua puluh sen atau tiga puluh sen tetapi sepuluh sen akan tetap mencecah mulut tabung.

Sejak itu, setiap bulan pasti kami akan memantau perkembangan tabung. Apabila sudah penuh, emak dan abah akan suruh kami buka tabung, keluarkan duit, kira dan simpan ke dalam bank. Biasanya jumlah tabungan kami memang memberangsangkan. Saya sanggup menahan lapar dan keinginan untuk makan bersama-sama rakan pada waktu rehat untuk memastikan saya akan dapat mengisi tabung pada hari tersebut. Bekalan sudah tentu menjadi teman saya semasa rehat. Tidak kiralah apa yang ada, saya tidak akan menolak pelawaan emak untuk membawa bekal. Kasihan emak... bersusah payah menyediakan bekalan untuk saya. Adik saya bawa juga bekal tetapi dia beli juga di kantin. Dia memang kuat makan! Hahaha...

Hal ini amat berbeza dengan zaman sekarang. Adik-adik saya amat beruntung kerana belanja sekolah lebih daripada biasa. Mungkin juga disebabkan harga makanan semakin mahal, maka emak akan memberikan wang belanja yang lebih untuk mengisi perut. Bekal pun hanya bawa sekali-sekala sahaja. Sekolah pagi belanja, sekolah petang (agama) pun belanja juga. Bila ditanya duit masuk tabungkah? Hanya jawapan sengih diterima. Maksudnya apa? Hmm... tahu-tahu sendirilah. Duit tabungan hanya disimpan oleh emak dan duit raya. Duit raya pun adakalanya awal-awal sudah diperuntukkan untuk membeli permainan atau memenuhi kehendak sendiri.

Anda pula bagaimana? Menabungkah untuk diri sendiri atau keperluan peribadi? Alhamdulillah... hingga kini saya masih menabung walaupun cuma syiling setiap dua hari sekali. Suami saya juga memang mengamalkan budaya ini sejak kecil hinggalah sekarang. Banyak botol kosong dan balang dijadikan tabung untuk mengisi duit ringgit. Saya suka mengumpul syiling lima puluh sen. Sanggup saya menukar syiling di kedai untuk disimpan. Suami saya pula suka mengumpul syiling sepuluh sen. Comel katanya. Ada juga balang lain khas untuk not kertas. Apabila dikeluarkan seronok rasanya. Adakalanya mencecah hingga ratusan ringgit.

Kami juga akan membuat tabungan sekiranya ada benda yang ingin dibeli. Kami akan berusaha mencapai target dengan menyimpan duit di tabung dan memastikan duit tersebut cukup untuk dibelanjakan. Setakat ini baru sekali saya mengorek tabung dan mengeluarkannya dalam jumlah yang banyak untuk membeli buku terbaru karya sasterawan negara pujaan saya - Datuk A. Samad Said. Memang puas hatilah!

Kesimpulannya, menabunglah kamu sebelum kamu ditabungkan!

Bersambung lagi ya...

No comments:

Post a Comment