Monday, December 21, 2009

SIMPOSIUM LALUAN HAJI RANTAU ASIA



Aku kena pergi simposium di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Kuala Lumpur. Tajuknya macam bagus, kan? Kebetulan aku sedang baca buku "Kapal Haji Dalam Kenangan". Memang sesuai betullah! Bila bos bagi surat suruh aku pergi, teruja sungguh hendak ke sana. Tetapi adalah juga benda yang tidak menyeronokkan... Bersambung lagi nanti.



Inilah bunga yang aku berkenan sangat di simposium itu. Siap mintak tolong kawan ambilkan gambar lagi. Nantilah... kalau sudah ada rumah sendiri, aku hendak gubah bunga macam ini juga. Gambar ini tidak berapa jelas warnanya sebab guna kamera telefon, kalau guna kamera canggih atau tengok sendiri, memang cantiklah warnanya!

MAJLIS SYARAHAN RAJA ALI HAJI 2009 - Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu

Kuda ditunggang pelana disilang
Daun senduduk bawa di saku
Orang dagang selamatlah pulang
Orang duduk beku di bangku

Kapal layar belayar terus
Hlang pedoman sesat di barat
Bahasa Melayu menongkah arus
Kekal berzaman mengangkat martabat

Sayang-sayang buah kepayang
Bawakan mari buah kecubung
Sayang Profesor syarah tak panjang
Ada rezeki marilah berkunjung



Bagus tak pantun aku ini? Inilah pantun yang aku persembahkan untuk Prof. Diraja Ungku Aziz dalam Syarah Raji Ali Haji 2009 - Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu. Jangan marah... Pak Ungku puji dan minta salinan untuk disimpan tau! Ada bakat, katanya. Gelak tawa dan tepukan gemuruh daripada audiens sememangnya menjadi pendorong dan semangat buat aku yang masih hijau di DBP. Orang lain tak dapat... hehehe...

Bukan hendak menunjuk dan mempamer kebolehan diri, tetapi selagi aku tidak meluahkannya, selagi itulah aku tidak akan senang duduk. Tidak kisahlah orang hendak cakap apa pun. Aku bukan mengharapkan pujian orang mahupun mempromosi diri. Cuma untuk kepuasan diri. Tetapi selepas itu... kesannya memang hebat! Tidak sangka, ramai orang menghargai keberanian dan bakat aku. Setiap langkah, sampai sehingga hendak menyuap pun, ada sahaja orang datang menyapa dan menyampaikan ucapan tahniah. Malu aku dibuatnya.

Hmm... ramai pula orang merekomen masuk ke bahagian mereka. Kata mereka, aku tidak sesuai di bahagian AFTI (Agama, Falsafah dan Tamadun Islam). Sabarlah... itu bukan kuasa aku. Lagipun baru setahun jagung aku di bahagian ini, berilah peluang untuk aku memperbaiki diri dan belajar ilmu penghasilan buku-buku agama. Mungkin ada hikmahnya aku ditugaskan di bahagian ini. Dengan ketua, abang-abang dan kakak-kakak yang baik serta mudah memberi tunjuk ajar, sudah tentu aku bahagia dan selesa di sini. Aku tidak kisah, yang penting ada pengisian ilmu setiap hari. Tidaklah hari-hari yang aku lalui kosong begitu sahaja. Alhamdulillah... aku bersyukur dengan kurniaan-Mu, Ya Allah...

Monday, December 14, 2009

Karierku dan kecintaanku tetap di sini...



Ha... inilah kerja aku setiap hari! Tetapi sekarang sudah beralih posisi dan lokasi tau! Sekarang di Dewan Bahasa dan Pustaka. Konon-konon sedang khusyuklah tu... Kenangan di Creative Enterprise Sdn. Bhd. Tempat dudukku yang kucintai. huhu... Di sinilah aku belajar tentang banyak perkara. Dengan ketua dan rakan sekerja yang sekepala, sudah tentu tugasan yang kulakukan dapat menghasilkan impak yang baik. Pelbagai dugaan dan cabaran dilalui namun kami tetap tabah menghadapinya. Kerenah birokrasi, penulis serta manuskrip yang memeningkan sudah mangli bagi kami. Seronok juga bergelumang dengan penulisan, tatabahasa dan ayat-ayat cinta (oppsss... jiwanglah pulak) ) yang mencabar tetapi itulah aku... bidang yang sememangnya menjadi kecintaanku ini tetap menjadi pilihan dan tidak akan pernah luput dari lubuk sanubari.

Saturday, December 12, 2009

Alhamdulillah...


Leganya rasa dapat minuman segar di petang-petang hari begini. Adikku yang bongsu (paling kecil tetapi agak besar juga =P ) menyediakan hidangan ini. Pada mulanya dia agak keberatan apabila diminta oleh emak tetapi akhirnya dia menghidangkan untuk semua! Alhamdulillah... terima kasih, dik!

Menabunglah sebelum kamu ditabungkan...


Kalau anda semua tengok gambar ini, apa yang terlintas dalam fikiran anda? Apa yang terkandung dalam bekas ini? Ha... tentulah duit ringgit di dalam bekas ini sudah banyak. Sebab apa banyak? Mestilah sebab kita menabung, bukan?

Amalan menabung sememangnya bagus untuk masa hadapan kita. Bukan tidak boleh berbelanja tetapi jangan lupa simpanlah sedikit untuk keperluan saat-saat kecemasan. Saya sendiri mengamalkan budaya ini sejak kecil. Emak dan abah menggalakkan kami menabung. Setiap hari walaupun duit belanja cuma dua puluh sen atau tiga puluh sen tetapi sepuluh sen akan tetap mencecah mulut tabung.

Sejak itu, setiap bulan pasti kami akan memantau perkembangan tabung. Apabila sudah penuh, emak dan abah akan suruh kami buka tabung, keluarkan duit, kira dan simpan ke dalam bank. Biasanya jumlah tabungan kami memang memberangsangkan. Saya sanggup menahan lapar dan keinginan untuk makan bersama-sama rakan pada waktu rehat untuk memastikan saya akan dapat mengisi tabung pada hari tersebut. Bekalan sudah tentu menjadi teman saya semasa rehat. Tidak kiralah apa yang ada, saya tidak akan menolak pelawaan emak untuk membawa bekal. Kasihan emak... bersusah payah menyediakan bekalan untuk saya. Adik saya bawa juga bekal tetapi dia beli juga di kantin. Dia memang kuat makan! Hahaha...

Hal ini amat berbeza dengan zaman sekarang. Adik-adik saya amat beruntung kerana belanja sekolah lebih daripada biasa. Mungkin juga disebabkan harga makanan semakin mahal, maka emak akan memberikan wang belanja yang lebih untuk mengisi perut. Bekal pun hanya bawa sekali-sekala sahaja. Sekolah pagi belanja, sekolah petang (agama) pun belanja juga. Bila ditanya duit masuk tabungkah? Hanya jawapan sengih diterima. Maksudnya apa? Hmm... tahu-tahu sendirilah. Duit tabungan hanya disimpan oleh emak dan duit raya. Duit raya pun adakalanya awal-awal sudah diperuntukkan untuk membeli permainan atau memenuhi kehendak sendiri.

Anda pula bagaimana? Menabungkah untuk diri sendiri atau keperluan peribadi? Alhamdulillah... hingga kini saya masih menabung walaupun cuma syiling setiap dua hari sekali. Suami saya juga memang mengamalkan budaya ini sejak kecil hinggalah sekarang. Banyak botol kosong dan balang dijadikan tabung untuk mengisi duit ringgit. Saya suka mengumpul syiling lima puluh sen. Sanggup saya menukar syiling di kedai untuk disimpan. Suami saya pula suka mengumpul syiling sepuluh sen. Comel katanya. Ada juga balang lain khas untuk not kertas. Apabila dikeluarkan seronok rasanya. Adakalanya mencecah hingga ratusan ringgit.

Kami juga akan membuat tabungan sekiranya ada benda yang ingin dibeli. Kami akan berusaha mencapai target dengan menyimpan duit di tabung dan memastikan duit tersebut cukup untuk dibelanjakan. Setakat ini baru sekali saya mengorek tabung dan mengeluarkannya dalam jumlah yang banyak untuk membeli buku terbaru karya sasterawan negara pujaan saya - Datuk A. Samad Said. Memang puas hatilah!

Kesimpulannya, menabunglah kamu sebelum kamu ditabungkan!

Bersambung lagi ya...

Gambar kad ucapan


Syahdu tengok gambar ini, kan? Sebenarnya gambar ini dirakam oleh adikku (nama dirahsiakan lagi. hahaha...) Kolam buatan di rumah kampung. Kucing belaan keluargaku - namanya Bobot (yang selalu di'dush' oleh emakku). Entah apalah yang dia renung di dalam kolam itu. Ikan memang banyak (secara jujur, tidak tahu pun ikan apa... ikan kembung kut? hahaha...).

Bagus kan gambar ini? Memang sayanglah kalau dibuang. Siapa-siapa berkenan ambillah! =)

Akhirnya aku sudah memiliki blog!

Buat pertama kalinya dalam hidup aku, hari ini sudah ada blog! =) Berkat pertolongan adik aku (nama dirahsiakan atas permintaan), dapatlah aku tulis cerita-cerita merapu dan kisah rutin hidup aku di sini. Aku memilih untuk menggunakan ayat dan bahasa serta ejaan baku (mengikut kamus dewan - sesuai dengan karierku) untuk melatih diri agar tidak terikut-ikut dengan rentak dan slanga yang adakalanya tidak masuk akal remaja kini. Nantikanlah sambungan kisah hidupku selepas ini (ayat dipinjam daripada adikku - nama dirahsiakan sekali lagi atas permintaan)! Jumpa lagi!